Ezlynn Cari Saham Akhirat " Mahu Suami Cukupkan 4 " - SARIP KAY

Ezlynn Cari Saham Akhirat ” Mahu Suami Cukupkan 4 “

  • 2 min read
  • Oct 26, 2021
Ezlynn nak cari madu

Baru dua bulan berkahwin dengan penderma hati pertama negara Wan Mohd Hafizam Wan Ismail pada 11 September lalu, penyanyi Ezlynn memberitahu mahu mencari isteri baru untuk suaminya.

Menurut Ezlynn, keputusan itu dibuat kerana dia terlalu menyintai suaminya serta mahu mencari ‘saham akhirat’. Ujarnya, siapa yang berminat boleh menghubunginya di Instagram.

“Dalam Islam pun membolehkan lelaki berkahwin empat. Saya nak cukupkan suami saya ada empat isteri. Kalau ada yang sanggup bermadu dengan saya, boleh terus mesej di Instagram.

“Kita hidup hanya sementara, mesti kena gembira. Jom mengorak langkah menuju ‘jannah’ (syurga). Saya mengangkat sunnah Rasullullah SAW, dan saya yakin boleh hidup bermadu,” katanya.

Kata Ezlynn lagi, dia sudah mula bertanyakan beberapa orang individu dan ada yang sudah bersetuju untuk menjadi madu baharunya.

“Cuma saya masih lagi cari yang sesuai untuk dia. Suami memang tahu berkenaan perkara ini kerana saya mengutarakan ‘hajat’ dan kami sudah bincang mengenainya.

“Sebab itulah saya putuskan nak cari madu yang baik dan sesuai, yang sudi terima saya sebagai madu juga. Maksudnya berkahwin dengan saya sekalilah dan bukan dengan suami saja. Sebabnya, nanti banyak perkara perlu dilakukan oleh kami bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ezlynn berkata dia amat mementingkan kebahagiaan suaminya dalam masa yang sama mahu mengangkat sunnah Rasullullah SAW.

“Kebahagian suami penting bagi saya. Dalam dunia ini saya dah tak perlu apa-apa lagi. Saya nak cari saham akhirat saja. Mana-mana yang boleh saya dapat reda Allah dan ‘syafaat Rasulullah’, saya akan ikut. Inilah hadiah buat suami saya,” katanya.

Terdahulu, Ezlynn dan suami, Wan Hafizam berkenalan ketika sama-sama terbabit dalam aktiviti amal dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada tahun lalu.

Sedikit Ilmu Bab POLIGAMI

Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Dalil

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (Surah An-Nisaa’: Ayat 3)

Syarat Poligami

  • Berkemampuan untuk menanggung nafkah isteri-isteri dan anak-anak
  • Berlaku adil kepada isteri-isteri
  1. Adil dalam menyediakan kediaman
  2. Adil dalam giliran bermalam
  3. Adil dalam musafir
  4. Adil memberikan nafkah

Semoga bermanfaat.

Sumber: Rotikaya