Anggotan Polis Dipercayai Bunuh Anak sendiri dan Bunuh diri

SEREMBAN – Seorang anggota polis berpangkat koperal ditemui mati selepas dipercayai menembak mati anak lelakinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam kejadian bunuh diri di Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, anggota berusia 35 tahun dan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian ini pada pukul 6.42 petang dan hasil siasatan awal mendapati mangsa telah menembak diri sendiri dengan menggunakan senjata api jenis pistol selepas menembak anaknya.

“Dua beranak berkenaan ditemui dengan kesan tembakan di kepala dan polis percaya kejadian berlaku adalah bunuh diri dan bunuh,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Menurut Mohd. Said, mangsa merupakan anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun dipercayai ia berkaitan dengan masalah keluarga.

“Masih terlalu awal untuk saya beri penjelasan berhubung punca si mati ambil tindakan membunuh diri, tapi saya percaya si mati ada masalah keluarga,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu dan laporan mati mengejut.

Difahamkan mangsa mempunyai seorang isteri dan dua anak lelaki iaitu berusia 14 dan tujuh tahun. -K! ONLINE

Semoga arwah dirahmati dan diampunkan segala dosanya.

Leave a Reply